STOK HARTANAH TIDAK DIJUAL BERI IMPAK KEPADA PEMAJU

Stok hartanah

Prospek sektor hartanah dijangka lebih bersifat neutral pada tahun ini dengan disokong oleh peningkatan inventori dalam pasaran berkenaan.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, pertumbuhan stok hartanah kediaman sedia ada dan hartanah kediaman tidak terjual dijangka membebani pemaju.

Menurut beliau, ini kerana mereka perlu lebih kompetitif dalam menyediakan tawaran terbaik kepada pembeli.

“Ia termasuk menawarkan rebat yang lebih tinggi dalam pengewangan inventori di samping projek-projek baharu,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Jessica menjelaskan, dalam masa sama, pembeli dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat selepas pemaju digesa menurunkan harga jualan sebanyak 10 peratus.

“Pengecualian setem duti dalam tempoh enam bulan bagi harga hartanah di antara RM300,000 hingga RM1 juta dijangka memberi kesan positif jangka masa pendek kepada sektor berkenaan,” jelasnya.

Berdasarkan data dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), stok hartanah kediaman sedia ada bagi tempoh suku kedua tahun lalu meningkat sebanyak tiga peratus tahun ke tahun kepada 5.5 juta unit.

Bagi segmen hartanah kediaman tidak terjual pula, kadarnya turut meningkat 40 peratus bagi tahun ke tahun dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, menurut Jessica, pihaknya menjangkakan polisi pinjaman yang ketat akan terus menjadi isu lazim kepada pembeli bagi tahun ini, selepas tiada sebarang tanda atau semak semula yang dilihat dilakukan terhadap polisi tersebut.

“Data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan peratusan purata diluluskan bagi hartanah kediaman adalah mendatar iaitu sebanyak 40.7 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu berbanding 40.4 peratus bagi tempoh sama tahun 2017.

“Sementara itu, kami merasakan projek perumahan mampu milik wajar diteruskan khususnya dalam membantu golongan berpendapatan B40 dan M40 untuk mendepani dilema kenaikan harga rumah,” ujarnya.

Menjawab persoalan berhubung pelaksanaan inisiatif menerusi pendanaan awam hartanah yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini, beliau berkata, ia adalah suatu yang mencabar terpaksa dihadapi oleh pembeli.

“Manfaat utama menerusi inisiatif pembiayaan perumahan rakan setara (P2P) ini adalah membolehkan pemilikan rumah tanpa pinjaman bank, yang mana pembeli hanya perlu membayar sebanyak 20 peratus bagi memiliki rumah,” jelasnya.

SUMBER: KOSMO.COM

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  PERMOHONAN PINJAMAN PERUMAHAN ANDA DITOLAK ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *