Barang Langka Untuk Pelaburan? Kenali Sebab, Jenis dan Risikonya.

PelaburanPelaburan

Ramai antara kita sebenarnya suka mengumpul barang, kadang-kadang barang lama pun sayang nak buang. Sebab apa? Nostalgia dan emosi.

Tahukah anda sebenarnya benda-benda lama atau langka ni boleh buat duit kalau kena cara dan gayanya? Di sini kami senaraikan beberapa jenis barang yang berbaloi dikumpul, manalah tahu dalam masa berpuluh tahun lagi nilainya meningkat mendadak. Durian runtuh orang kata.

Kenali risiko sebelum melabur

Sebelum kita selidik barang-barang yang berbaloi buat “pelaburan jangka panjang” ni, apa kata kita tahu risikonya dulu. Sebab setiap pelaburan memang ada risiko kan, pelaburan yang dakwa takde risiko ni selalunya scam je.

Pertama, pelaburan barang langka adalah pelaburan alternatif. Maksudnya, tiada jaminan barang yang anda kumpul akan bernilai, ada ketikanya ia akan hilang nilai atau jatuh nilai. Sebab tu “rule of thumb” dalam pelaburan barang langka adalah kena ada minat. Dengan adanya minat, kita akan banyak belajar tentang barang tersebut.

Kedua, seperti biasa dalam mana-mana pelaburan kenalah ada ilmu. Bezanya, dalam pelaburan barang langka ilmu yang dituntut bukan biasa-biasa. Sebabnya mudah, untuk elak anda kena tipu. Ilmu tentang barang tu bukan setakat boleh Google je, kena tahu dan kenal pakar barang atau organisasi yang memang pakar. Jadi orang yang pengumpul barang langka, tak kisahlah mainan, buku, duit syiling atau apa sahaja selalunya memang boleh bercerita berjam-jam tentang barang tersebut, maksudnya mereka tahu luar dalam tentang barang tersebut.

Ketiga, komuniti peminat barang langka terhad. Bukan semua orang hargai nilai sentimental dan sejarah barang langka, jadi janganlah berharap bila anda ada barang yang “luar biasa” maka ramailah pembeli sanggup beratur untuk mendapatkannya. Sangat jarang perkara itu berlaku, sebab itu kena tahu komuniti yang ada minat sama dan boleh hargai nilai barang anda. Disebabkan komuniti kecil, jadi akan ambil masa untuk terjual barang yang anda kumpul.

Keempat, risiko penjagaan. Barang lama disebabkan ia dah lama perlukan penjagaan rapi. Terutamanya yang mudah rosak seperti buku, kereta dan motosikal lama dan pelbagai lagi. Kenalah ada tempat simpanan khas untuk jaga barang-barang tersebut, sebab kalau rosak atau ada kecacatan sudah tentulah nilainya akan turun.

Itu antara risiko utama kalau hendak menceburi pelaburan barang langka. Yang penting kena ingat pelaburan barang langka adalah jangka panjang, tiada jaminan pulangan, permintaan yang kecil dan susah hendak dijaga.

Barang yang berbaloi dikumpul

Pertama, duit dan syiling. Tahukah anda pernah syiling 10 sen tahun 1976 terjual dengan harga RM680 pada 2000. Not bad la kan? Sebabnya, ramai orang mula sedar duit dan syiling langka ada peminatnya tersendiri. Dan jangan salah faham, bukan semestinya syiling lama harganya tinggi, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti keaslian, jumlah edaran dan keelokan syiling tersebut. Ada juga duit dan syiling keluaran terbaru harganya boleh naik, misalnya duit dan siling yang dikeluarkan sempena perayaan istimewa atau yang ada nombor siri menarik.

BACA JUGA:  BENARKAH BROKER KENAKAN YURAN TRANSAKSI LEBIH TINGGI?

Malah tak perlu pergi jauh sangat pun, pada tahun 2016, sekeping wang RM1 yang ditandatangani oleh bekas gabenor Bank Negara Malaysia telah dibida dengan harga RM13,500! Pengumpul ini merupakan seorang kontraktor yang menjadikan usaha mengumpul duit lama sebagai hobi.

Kedua, buku lama. Kadang-kadang keluarga kita ada buku-buku lama dan ramai orang yang tak tahu hargai akan buang sahaja atau hantar kitar semula. Tetapi, sebelum buat begitu cuba tengok kalau-kalau ada buku first edition lama yang sekarang sudah tak tercetak dan mungkin anda terkejut tengok harganya sekarang. Latar belakang buku tersebut juga penting, misalnya buku first edition penulis terkenal yang bertandatangan pastilah tinggi harganya. Selain itu, rekod sejarah atau peta lama pun harganya mahal. Tetapi disebabkan buku sukar dijaga, harganya ditentukan banyak faktor misalnya keelokkan muka surat, jumlah edaran dan penulisnya.

Oh, jangan juga pandang rendah kepada komik. Walaupun nampak tak “serius”, tetapi tahukah anda komik paling mahal pernah dijual ialah “Action Comics No.1” keluaran 1938 di mana Superman buat kemunculan pertama yang terjual dengan harga AS$3.2 juta (RM13.14 juta) pada 2014. Harganya semahal itu kerana keadaannya baik walaupun dah lama.

Ketiga, alat mainan. Rasanya kita semua ada alat mainan kegemaran. Tak kisahlah, Star Wars ke, Lego atau Hot Wheels atau yang lain. Ada antara alat mainan ni memang barang langka, tapi bukan semua. Sebabnya, alat mainan ni selalunya dikeluarkan dalam jumlah yang banyak. Jadi, nilainya sangat bergantung kepada keelokkan barang tersebut. Kalau dah rosak patah riuk janganlah berharap harganya tinggi kan. Antara alat mainan yang berbaloi untuk dikumpul dan harganya selalunya naik kalau elok adalah HotWheels, Barbie, Star Wars dan kad Pokemon.

Keempat, cenderahati peristiwa penting. Ada cenderahati yang dikeluarkan sempena peristiwa penting negara. Ada pengumpul yang suka kumpul cenderahati kahwin orang terkenal, hari bersejarah malah parti politik. Setiap cenderahati ini- termasuklah poster, bendera, pin baju dan sebagainya- menyimpan nostalgia besar. Jangan terkejut kalau memang ada orang suka mengumpul benda-benda ini, yang kadang kala kita tak ambil kisah pun. Malah, mengumpul cenderahati begini boleh beri pulangan yang tak terjangka lumayan juga. Misalnya seorang pengumpul ni jual lencana kereta hari merdeka dengan harga RM5,000!

Ini adalah beberapa jenis barangan yang kami percaya semua orang boleh mula kumpul. Tetapi, semuanya bergantung kepada minat masing-masing.

Di mana hendak bermula

Di dunia siber, banyak kumpulan Facebook yang tentang barang langka ini. Di sana anda boleh membaca dan berkenalan dengan ramai peminat barangan sama. Anda juga boleh mula berkunjung ke tempat-tempat popular barang langka seperti Amcorp Mall, Pasar Karat Ipoh dan Johor Bahru dan pelbagai lagi kedai-kedai barang langka yang banyak wujud di Malaysia. Belajar dan mula mengumpul.

BACA JUGA:  JUAL HARTANAH MENGIKUT HARGA PASARAN

Tetapi kena beringat, pelaburan barang langka adalah pelaburan jangka panjang, yang paling penting anda kena suka barangan yang dikumpul supaya anda boleh belajar, hargai dan tahu nilainya.

SUMBER: LOANSTREET

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *