Belanjawan 2019: Insentif untuk pembeli rumah berpendapatan rendah dan pembeli kali pertama

belanjawan 2019

Belanjawan 2019 dengan tema “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” telah diumumkan oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng, dan PropSocial merumuskan ucapan 128 minit YB Lim di Parlimen untuk kemudahan para pembaca.

Sorotan belanjawan berkaitan hartanah adalah seperti berikut:

CKHT dan Duti Setem Dinaikkan
1) Peningkatan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT, atau RPGT) bagi rakyat Malaysia dan warga asing:

“Kerajaan akan memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah dalam tahun ke-6 dan tahun seterusnya, seperti berikut: Bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%, dan bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0% kepada 5%. Walau bagaimanapun, CKHT dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu-milik di bawah RM200,000.”

2) Peningkatan kadar duti setem:

“Kadar duti setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada 3% kepada 4%.”

Tahukah nilai duti setem anda? JPPH boleh membantu di sini.

Rumah Mampu-milik: Insentif untuk Rakyat Berpendapatan Rendah

(sumber: PR1MA)

1) RM1.5bil untuk membina dan menyiapkan rumah mampu milik:

“Kerajaan akan terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik dengan peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad demi memastikan bekalan rumah mencukupi.”

2) Tawaran terhad untuk golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah mampu-milik dengan kadar faedah yang rendah melalui dana RM1 bilion oleh Bank Negara:

“Untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan oleh Bank Negara untuk pembelian rumah mampu-milik berharga sehingga RM150,000.

“Mulai 1 Januari 2019, dana ini tersedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN melalui kadar pembiayaan serendah 3.5%. Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah, dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan. Dana ini disediakan untuk dua tahun ataupun sehingga peruntukan dihabiskan.”

3) Pengurangan sebanyak 10% untuk harga rumah-rumah terpilih:

“Kerajaan telah mengumumkan pengecualian SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan. Sebagai balasan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu.”

Peruntukan Kepada Pembeli Pertama

(sumber: TheStar)

1) Pembiayaan lebih tinggi untuk pembeli rumah pertama:

“Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan seisi rumah sehingga RM5,000, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak-gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit. Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos di antara 7% sehingga 11% kepada pembeli rumah, selain daripada apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan oleh pemaju.”

BACA JUGA:  4 strategi buat duit dengan hartanah. Anda suka yang mana satu?

2) Pengecualian duti setem ke atas perjanjian surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah pertama:
“Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020.”

3) Pengecualian duti setem untuk unit yang tidak terjual:

“Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari, 2019. Ini akan menjadi sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan di mana pemaju akan menawarkan potongan diskaun 10% ke atas harga hartanah kediaman projek sedia ada. ”

Bantuan Untuk Penjawat Awam
Lanjutan tempoh pembiayaan untuk penjawat awam:

“Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membantu kakitangan sektor awam memiliki kediaman yang diimpikan, Kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di mana tempoh pembiayaan pertama daripada 30 tahun kepada 35 tahun dan tempoh Pembiayaan Kedua daripada 25 tahun kepada 30 tahun.”

Pertama Di Dunia: Dana Masyarakat

(sumber: Crowdfunding.com)

Pinjaman rakan setara untuk pembeli rumah pertama:

“Sebagai bukti kesediaan Kerajaan untuk meneroka mekanisme baru berasaskan teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah perumahan, Kerajaan akan membenarkan platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) yang dipacu oleh sektor swasta. Platform ini akan menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawalselia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending). Sebagai contoh, pembeli boleh membeli hartanah terpilih dengan bayaran 20% nilai hartanah manakala baki 80% akan dibiayai oleh pelabur yang ingin mendapat pulangan kenaikan nilai hartanah tersebut untuk suatu tempoh masa.

“Dalam analogi mudah, Ah Chong boleh memiliki dan mendiami rumah yang bernilai RM250,000 dengan hanya membayar RM50,000 tanpa mengambil pinjaman perumahan. Pelabur Syarikat Ali Sdn Bhd yang mungkin berminat untuk melabur dalam hartanah akan membiayai baki RM200,000 melalui Pasaran Pinjaman Pelaburan Hartanah yang terbuka kepada rakan setara. Inovasi kewangan ini merupakan yang pertama di dunia dan sekiranya berjaya, akan membolehkan pemilikan rumah yang lebih meluas oleh pembeli rumah pertama di negara ini. Platform pertama dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2019, setelah semua kelulusan diperolehi daripada Suruhanjaya Sekuriti.”

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *