BELI KEDIAMAN IKUT KEMAMPUAN

11702409583 f04d6b46fa b

MEMBELI hartanah terutama rumah pertama adalah keputusan penting bagi setiap orang kerana ia akan mempengaruhi sebahagian besar kehidupan mereka, khususnya dalam aspek kewangan.

Kesilapan membuat anggaran terlalu tinggi yang melebihi kemampuan sering kali menyebabkan bakal pembeli terutama golongan muda, gagal merealisasikan impian mereka.

Masalah kewangan
Lebih membimbangkan akan menyebabkan mereka dihimpit oleh masalah kewangan yang rumit kerana komitmen membayar balik pinjaman membabitkan peratusan agak besar daripada pendapatan bulanan.

Kekangan kewangan
Pengurus Kanan Ho Chin Soon Research Sdn Bhd (HCS Research), Khairudin Ya’cob, berkata isu sedemikian sering kali membelenggu golongan terbabit yang lebih dikenali sebagai Generasi-Y (Gen Y) dalam membuat pilihan untuk membeli rumah. Katanya, ini disebabkan kebanyakan mereka baru sahaja memasuki alam pekerjaan dan menghadapi pelbagai kekangan kewangan. Justeru, mereka tidak seharusnya membuat pembelian yang melangkaui kemampuan sebenar masing-masing. “Jika pembeli berkemampuan untuk mendapatkan rumah berharga RM350,000, mereka dinasihatkan supaya tidak menyasarkan untuk membeli rumah berharga RM500,000,” katanya kepada BH.

Khairudin berkata, pembeli tidak boleh membuat anggaran terlalu tinggi dengan apa yang mereka mampu, pada masa sama jangan pula memandang remeh peluang yang ada di pasaran. Katanya, kebanyakan Gen Y didapati terlalu memberi tumpuan kepada pasaran rumah primer, sedangkan ada pasaran sekunder yang lebih sesuai dengan bajet mereka. Sementara itu, Pakar hartanah Propertygeek.my, Khalil Adis, berkata generasi muda sekarang sememangnya berhadapan kesukaran untuk membeli kediaman pertama, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Beliau yang arif dalam topik pemilikan rumah Gen Y, menggalakkan golongan terbabit menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi dalam usaha memiliki kediaman sendiri.

Sistem pengiraan
“Ada beberapa aplikasi dan laman web yang menyediakan sistem pengiraan untuk membandingkan pendapatan kita dengan nilai rumah yang ingin dibeli serta beberapa pengiraan untuk pemilikan rumah. “Paling penting membuat persediaan awal dengan selalu membuat tinjauan dan kaji selidik pasaran, harga serta promosi yang ditawarkan pemaju,” katanya. Khalil berkata, hartanah dan kediaman adalah antara pelaburan terbaik dalam suasana kelembapan ekonomi atau inflasi kerana ia adalah aset yang mana nilainya akan terus meningkat tanpa terlalu dipengaruhi keadaan ekonomi semasa berbanding instrumen pelaburan lain. Katanya, pembelian rumah sebagai pelaburan tidak semestinya di pusat bandar sahaja, malah boleh diperoleh jika tahu kawasan pinggir bandar yang sedang atau bakal dibangunkan. “Pembelian rumah akan jadi berbaloi jika harganya boleh meningkat dalam beberapa tahun dan memberikan kita satu aset yang sangat bernilai,” katanya.

INFO: Tip pembelian hartanah
– Sertai pameran hartanah yang menawarkan informasi, kaji selidik dan promosi terbaru daripada pemaju dan bank 
– Pilih lokasi yang sedang dibangunkan atau bakal dibangunkan kerana harga masih berpatutan dan banyak beri pulangan.
– Guna kemudahan teknologi dalam membuat perkiraan dan membandingkan harga.
– Pergi sendiri ke kawasan rumah yang kita bercadang untuk beli bagi melihat sendiri persekitaran dan kemudahan yang ada.
– Diami sendiri kediaman pertama dibeli untuk pengurusan wang dan aset yang lebih baik.
– Jangan ikut trend beli kediaman trendy seperti rumah studio kerana pulangan selalunya tidak memadai.
– Sediakan wang kecemasan untuk rumah kerana memiliki rumah memberi kita tanggungjawab tambahan berdasarkan aset berkenaan.
– Jangan terburu-buru membuat pembelian dan buat timbang tara dalam beberapa pilihan untuk memiliki rumah yang terbaik.

BACA JUGA:  PERBEZAAN ANTARA KONTRAK JUAL BELI DAN PERKONGSIAN

 

SUMBER: BH ONLINE

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *