BELI ASET BERHAMPIRAN KEMUDAHAN AWAM

pengankutan_awam.png

Sikap ambil tahu mengenai pembangunan projek-projek infrastruktur terutama yang melibatkan pengangkutan awam dapat memberi pilihan yang lebih luas terhadap pemilihan lokasi hartanah.

Pengarah Ho Cin Soon Research Sdn. Bhd., Ishmael Fadullah Ho Wen Xiong berkata, kawasan sekitar pembangunan projek se­perti Mass Rapid Transit (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), landasan kereta api berkembar dan lebuh raya berupaya memberikan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

Katanya, orang ramai perlu lebih peka dengan sebarang pengumuman yang dibuat kerajaan berkenaan projek-projek tersebut.

“Tidak semestinya mereka perlu membeli hartanah yang terletak betul-betul di stesen MRT atau LRT.

“Radius dalam satu hingga lima kilometer daripada projek-projek infrastruktur juga berupaya memberi pulangan memberangsangkan,” katanya semasa menyampaikan ceramah Bongkar Rahsia Lubuk Hartanah Terbaru pada Simposium Hartanah Utusan 2016 (SHU 2016) di sini hari ini.

Simposium itu menampilkan 15 penceramah yang membongkar rahsia dunia harta­nah secara terperinci bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang.

Ishmael berkata, orang ramai juga perlu mengambil masa untuk mengkaji serta mengambil tahu perkara-perkara yang sedang berlaku terutamanya yang melibatkan landskap ekonomi negara.

Beliau turut menyarankan golongan muda yang masih baharu dan berpotensi dalam kerjaya masing-masing untuk mencari hartanah berdekatan dengan bandar untuk didiami.

“Ramai pembeli rumah pertama dalam dilema sama ada ingin membeli rumah yang besar tetapi terletak jauh di pinggir bandar atau rumah yang kecil di kawasan ibu kota.

“Saya sarankan cari yang di ibu kota dan bagi yang telah stabil dan selesa dengan karier masing-masing bolehlah membeli hartanah di kawasan yang lebih sesuai,”katanya.

 

SUMBER: UTUSAN ONLINE

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  Cara Nak Beli 6 Buah Rumah Untuk Penjawat Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *