Bina rumah komuniti di seluruh negara

image

IDRIS JUSOH menyampaikan Anugerah Ketua Pengarah kepada Shahrul Anuar yang ditemani ibu bapanya, Mohd. Saris Suntek (tengah) dan Badariah Badrul (kanan) dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2016 Pahang, Terengganu dan Kelantan di Kuantan Pahang semalam. Turut hadir Amir Md. Noor (kiri). BERNAMA
KUANTAN 6 Ogos – – Kementerian Pendidikan Tinggi merancang untuk memperluaskan pembinaan rumah komuniti kepada golongan miskin yang dilaksanakan menerusi kebolehan penuntut dan pensyarah kolej komuniti di seluruh negara bermula tahun depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ke­sanggupan dan semangat penuntut serta pensyarah kolej berkenaan membolehkan mereka mencatat sejarah membina rumah komuniti pertama akhir Mac lalu.
Kata beliau, rumah komuniti pertama itu dibina di Kampung Padang Landak, Jerteh, Terengganu dalam masa 22 hari dengan kos RM19,900 menerusi sistem bangunan berindustri (IBS).
“Sehingga kini 18 buah rumah komuniti dibina di Parlimen Besut, Terengganu. Pembinaan rumah ini masih dalam tempoh percubaan di Besut.
“Selepas pengurusan kolej komuniti berpuas hati serta yakin dengan kepakaran dan kebolehan penuntutnya, insya-Allah kita minta kolej itu bina di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2016 Pahang, Terengganu dan Kelantan di Bukit Gambang Resort City (BGRC), di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md. Noor dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.
Pada majlis itu, seramai 1,415 graduan dalam pelbagai bidang daripada 15 buah kolej komuniti di Pahang, Terengganu dan Kelantan menerima sijil masing-masing.
Sementara itu, Idris berkata, kebolehpasaran penuntut kolej komuniti yang mendapat pekerjaan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada tahun lepas adalah 97 peratus.
Menurut beliau, jaringan kerjasama antara kolej komuniti de­ngan pihak industri berjaya dilaksanakan bagi mencapai objektif memberi peluang pendidikan dan latihan kemahiran kepada rakyat negara ini.
“Kerjasama itu secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada penuntut kolej komuniti bagi melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan memiliki kemahiran spesifik,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan me­rancang menambah 10 lagi kolej komuniti pada tahun ini bagi memenuhi permintaan dalam bidang kemahiran yang semakin meningkat.

Source: Utusan Malaysia

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *