Ejen Hartanah Haram Kenakan Yuran Transaksi Lebih Tinggi, Kata MIEA

Ejen-ejen hartanah haram mengaut keuntungan besar dengan mengenakan bayaran yuran transaksi lebih tinggi daripada kadar tiga peratus yang ditetapkan.

Presiden Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker berkata, ini menyebabkan ramai pembeli diperdaya apabila terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya.

Lebih membimbangkan, mengikut laporan dikumpul MIEA, bilangan ejen hartanah haram itu jauh lebih ramai iaitu sekurang-kurangnya 30,000 orang berbanding 16,000 ejen berdaftar.

“Apabila individu berhasrat menjual hartanah pada harga RM1 juta, ejen hartanah berdaftar akan memaklumkan nilai sebenar. Jika ianya RM1.1 juta, maka yuran standard tiga peratus atau bersamaan RM33,000 akan dikenakan.

“Bagaimanapun, ejen hartanah haram sebaliknya tidak akan memaklumkan nilai sebenar dan mengaut lebih daripada yuran yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Siva berkata bukan setakat pengguna, tetapi kerajaan akan turut menjadi mangsa kerana berbanding ejen berdaftar, ejen hartanah haram ini tidak membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebanyak enam peratus yang akan dilaksanakan pada 1 April ini.

Beliau turut mendakwa tiada sebarang tindakan diambil terhadap ejen hartanah haram ini biarpun Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah 1981 sudah dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kami amat berharap kerajaan dapat meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya.

Mengikut Akta itu, mana-mana ejen hartanah haram yang didapati bersalah, boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM300,000 atau kedua-duanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mendapatkan khidmat ejen hartanah berdaftar yang mempunyai tanda pengenalan ‘Perunding Hartanah’ dikeluarkan MIEA.

Ejen hartanah juga, katanya, perlu meningkatkan standard amalan mereka dalam usaha mengatasi ejen hartanah haram berkenaan.

“Kita perlu mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi supaya orang ramai tidak lagi mendapatkan khidmat ejen haram itu,” katanya.

Individu yang berhasrat menjadi ejen hartanah berdaftar diwajibkan mengikuti pengajian selama tiga tahun dan lulus 12 kertas bagi mendapatkan diploma berkaitan.

Mereka juga perlu berkhidmat selama dua tahun di bawah ejen hartanah berdaftar sebelum diberikan sijil amalan.
Oleh Nurul Hanis Izmir dan Zairina Zainudin — BERNAMA

Sumber : http://www.drumah.com/ejen-hartanah-haram-kenakan-yuran-transaksi-lebih-tinggi-kata-miea/4521.html

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *