GALAK CEBURI PELABURAN HARTANAH STRATA

Galak ceburi pelaburan hartanah strata

TUTONG, 16 Mei – Dalam usaha memberigakan semula mengenai kelebihan pemilikan hartanah menggunakan kaedah hak milik strata dan prosedur memprosesnya, Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan telah meneruskan lagi siri jerayawaranya di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong, pagi tadi.

Jerayawara tersebut menyentuh mengenai Pengenalan Akta Hak Milik Strata, Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata, Proses Pindah Milik Hak Milik Strata dan penubuhan serta peranan Perbadanan Strata.

Taklimat-taklimat mengenainya telah disampaikan oleh para pegawai dari Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur.

Akta Hak Milik Strata ialah hak milik yang dikeluarkan untuk setiap unit bagi sesebuah bangunan yang mempunyai lebih dari dua unit utama di mana kebenaran bagi memecah bahagi bangunan tersebut telah diluluskan dan bangunan yang siap dibina telah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa. Bangunan tersebut ialah seperti rumah pangsa, kedai dan pejabat.

Akta itu juga membolehkan sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk memiliki hartanah berupa unit-unit dalam bangunan di Negara Brunei Darussalam.

Pegawai Bahagian Pendaftaran, Jabatan Tanah, Dayang Amal Hayati binti Haji Junaidi semasa menyampaikan taklimat pagi kelmarin.

Menerusi taklimat tersebut, kelebihan dan kebaikan pengeluaran geran hak milik strata juga diterangkan yang mana pemilik-pemilik unit boleh melakukan urusan seperti pindah milik atau jual beli, memberi atau mewariskan, memberi pajakan termasuk pajakan kecil unit-unit yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja dan geran strata yang boleh dijadikan jaminan pinjaman kewangan seperti yang dibenarkan di bawah Bab 23 Kanun Tanah.

Hadir semasa jerayawara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya bersama penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pesuruhjaya Tanah, Haji Ghazalin bin Pengarah Haji Mokhti berserta pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan kerajaan di Daerah Tutong.

Dengan adanya pemberigaan ini, pihak berkepentingan luar seperti pemilik tanah, pemaju, ejen hartanah dan orang ramai akan lebih jelas dan faham mengenai kelebihan hak milik strata dan diharap akan dapat membantu meningkatkan kadar permohonan pecah bahagi bangunan, permohonan pengeluaran geran hak milik strata dan permohonan pindah milik unit strata.

Jabatan Tanah di Kementerian Pembangunan sentiasa menggalakkan dan mengalu-alukan orang ramai untuk menceburi pelaburan hartanah strata sama ada dari pihak pemilik tanah atau pun pemaju hartanah di mana ia akan menyumbangkan kepada kemajuan ekonomi negara dengan menggalakkan pertumbuhan industri pembangunan serta menarik minat pelabur dalam dan luar negara dalam sektor hartanah.

Sumber : HTTP://MEDIAPERMATA.COM.BN/

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  9 TIPS PELABURAN HARTANAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *