GENERASI MUDA DAN HARTANAH

group-formalization-1.jpg

Basyar Mustapha menemui pakar hartanah dalam Pameran Hartanah MyRumah dan meminta pandangan anak muda yang menyertainya.

Pemilikan kediaman dan hartanah menjadi satu topik hangat yang sering dibualkan sesama sendiri dan dibincangkan di peringkat profesional kini.

Apatah lagi untuk anak muda terutama Generasi Y, membeli hartanah atau kediaman sendiri adalah antara pencapaian penting dalam membina hidup mereka untuk masa hadapan yang lebih terjamin.

Namun dengan harga hartanah yang melambung tinggi, keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan dan kos sara hidup yang tinggi seakan-akan membantutkan usaha belia memiliki kediaman atas nama sendiri.

Pakar hartanah Khalil Adis daripada Propertygeek.my mengakui sememangnya generasi muda yang kini membina kehidupan mereka sukar membeli kediaman sendiri buat kali pertama, namun ia bukan sesuatu perkara yang mustahil.

“Saya sarankan supaya generasi Y tidak berputus asa dalam memiliki rumah sendiri sebagai aset yang sangat bernilai.

“Walau dalam ekonomi yang tidak memberangsangkan ketika ini, memiliki rumah sendiri tetap patut dijadikan pilihan utama berbanding memiliki harta lain seperti kereta.

“Hartanah dan kediaman adalah antara pelaburan terbaik pada waktu inflasi atau kejatuhan ringgit kerana ia adalah satu aset dan nilainya akan terus meningkat tanpa terlalu dipengaruhi keadaan ekonomi semasa berbanding banyak pelaburan lain.

“Fokus kepada rumah dengan harga yang kita mampu milik yang mempunyai faktor meningkatkan nilai rumah itu kelak. Pembelian rumah akan jadi berbaloi jika harganya boleh meningkat dalam beberapa tahun dan memberi kita satu aset yang sangat bernilai.

“Rumah seperti ini tidak semestinya di pusat bandar sahaja, malah boleh diperoleh jika kita tahu kawasan pinggir bandar manakah yang sedang atau bakal dibangunkan.

“Hartanah pertama yang dibeli perlulah jenis rumah yang kita diami sendiri kerana ia akan mengurangkan kos lain seperti kos menyewa,” katanya yang ditemui pada Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Khalil yang juga arif dalam topik pemilikan rumah Generasi Y menggalakkan anak muda menggunakan sepenuh­nya kemudahan teknologi dalam usaha memiliki kediaman sendiri.

“Ada beberapa aplikasi dan laman web yang menyediakan sistem pengiraan untuk membandingkan pendapatan kita dengan nilai rumah yang ingin dibeli dan beberapa pengiraan untuk pemilikan rumah. Ini memudahkan anak muda dalam membuat pengiraan mereka sebelum memulakan langkah lain.

“Paling penting adalah membuat persediaan awal dengan selalu membuat tinjauan dan kaji selidik pasaran, harga dan promosi yang sedang dijalankan.

“Hadir ke pameran hartanah seperti MyRumah adalah satu langkah yang baik kerana kita dapat melakukan kaji selidik atas pasaran dan mendengar pendapat pakar berpengalaman,” katanya yang baru mengeluarkan buku khas tip dan pandangan dalam memiliki kediaman sendiri.

BACA JUGA:  FORMULA YANG ANDA PERLU TAHU BERHADAPAN PERUNDING HARTANAH.

Pameran Hartanah MyRumah dijangka menghimpunkan 10 pemaju hartanah tempatan yang menawarkan rumah mampu milik dengan lingkungan harga bawah paras RM500,000 di sekitar Lembah Klang.

Selain pameran daripada 12 peserta terdiri daripada pemaju dan bank, pada masa sama diadakan sesi ceramah interaktif berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan 18 pakar hartanah yang dijemput.

Ribuan individu hadir termasuk generasi muda daripada pelbagai latar belakang mengambil kesempatan mendapat informasi berguna mengenai hartanah dan kediaman.

 

Sumber Rujukan : Harian Metro 

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *