Harga rumah dibina ketika GST sukar diturunkan

KUANTAN: Harga rumah yang dibina ketika era pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sukar diturunkan kerana cukai input enam peratus dikenakan terhadap pemaju tidak boleh dituntut.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pahang, Wong Kok Loon, berkata justeru pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kerajaan memberi pengecualian cukai itu kepada sektor pembinaan, tidak boleh mempengaruhi harga rumah yang didirikan ketika era GST.

“Ketika era GST, cukai input enam peratus ke atas semua bahan binaan, termasuk infrastruktur tidak boleh dituntut oleh pemaju perumahan. Oleh itu, cukai berkenaan terpaksa diserap oleh pemaju.

“Justeru, pelaksanaan SST tidak boleh mempengaruhi harga rumah yang dibina ketika era GST,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan menarik balik pengecualian SST yang diberi kepada sektor pembinaan jika pemaju tidak mengurangkan harga rumah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dipetik sebagai berkata bawah regim GST sebelum ini, sektor pembinaan dikenakan cukai enam peratus, termasuk menyewa serta bil utiliti dalam sektor komersial dan industri, namun kini semuanya dikecualikan daripada cukai.

Pada Ogos lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan beberapa bahan binaan seperti simen, batu bata dan produk keluli, akan dikecualikan daripada SST.

Bagaimanapun, Kok Loon berkata, persatuan itu menggalakkan ahlinya memberi rebat dengan menurunkan harga rumah bagi projek yang mula dibina selepas 1 September lalu.

“Ini kerana SST sudah tidak perlu dibayar dan penjimatan itu boleh disalurkan kepada pembeli rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pembekal dan pengilang diharap menurunkan harga bahan binaan selaras pengumuman kerajaan mengecualikan simen, batu bata dan produk keluli daripada SST.

“Ketika ini, harga barangan terbabit masih belum turun. Ini menyebabkan rumah sukar dijual pada harga lebih murah. Namun, perlu diingatkan bahawa kos pembinaan hanya 50 peratus daripada keseluruhan kos suatu projek perumahan.

“Baki 50 peratus lagi adalah kos tanah dan kos pematuhan yang dikenakan terhadap pemaju. Harga tanah kini pula terlalu tinggi, terutama yang berdekatan bandar,” katanya.

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  Selangor Properties privatisation gets shareholders' nod

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *