HARGA RUMAH DIJANGKA TERUS TURUN TAHUN DEPAN

elak duit deposit

KUALA LUMPUR: Trend penurunan harga rumah dijangka berterusan sehingga tahun depan, kata penganalisis pasaran hartanah, Faizul Ridzuan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital Sdn Bhd, berkata perkembangan itu dapat dijangkakan memandangkan berlaku pertukaran kerajaan buat kali pertama selepas 61 tahun.

Katanya, secara kebiasaannya apabila berlaku pertukaran kerajaan, akan berlaku ketidaktentuan dari segi dasar ekonomi negara pada peringkat awal.

“Orang ramai juga akan menangguh hasrat mereka untuk membeli rumah terlebih dulu kerana mahu melihat sama ada kerajaan baharu ini bersifat mesra dan menggalakkan rakyat untuk membeli rumah atau tidak.

“Jadi, kebiasaannya juga orang ramai tidak akan membeli rumah pada peringkat awal ini. Jangkaan kami, trend ini akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun depan,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Tambahnya, harga rumah pada separuh kedua 2019 pula akan bergantung kepada Belanjawan 2020.

“Belanjawan boleh menentukan sama ada harga rumah akan naik atau bakal jatuh. Setakat ini, dalam Belanjawan 2019, tiada peruntukan untuk menggalakkan orang membeli rumah kecuali untuk pembeli rumah pertama.

“Jadi, disebabkan itu saya jangkakan harga rumah akan jatuh pada tahun depan,” katanya.

Faizul berkata, pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa bahan binaan juga tidak banyak membantu mengurangkan harga rumah.

“Saya ramalkan harga rumah baharu tahun depan tidak akan berapa tinggi, tetapi saiznya mungkin dikecilkan.

“Jika dulu rumah dengan tiga bilik dibina pada keluasan 1,200 kaki persegi (kps), tetapi akan datang rumah yang sama tetapi dengan keluasan 750 kps untuk dijual pada harga di bawah RM500,000.

“Harga mengikut kaki persegi akan menjadi lebih mahal, tetapi harga untuk sebuah unit menjadi lebih murah,” katanya.

Laporan awal dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendapati harga rumah di seluruh Malaysia secara purata turun sebanyak RM2,247 pada suku ketiga 2018.

Pada suku berkenaan, secara purata harga rumah di seluruh Malaysia adalah berharga RM414,469 berbanding RM416,716 yang dicatatkan pada suku kedua 2018.

Jika dipecahkan mengikut negeri, penurunan harga itu membabitkan sembilan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak manakala selebihnya harga rumah adalah menaik.

Kuala Lumpur menunjukkan penurunan paling tinggi iaitu sebanyak RM9,715, dari RM788,475 pada suku kedua 2018 kepada RM778,760 pada suku ketiga 2018.

Bagaimanapun, harga rumah di ibu negara itu masih kekal tertinggi diikuti Selangor (RM478,466); Sabah (RM457,182); Sarawak (RM433,546) dan Pulau Pinang pada RM416,941.

Negeri lain merekodkan harga yang lebih rendah daripada paras kebangsaan (RM414,469) dengan Kelantan masih kekal dengan rekod terendah pada harga RM173,976.

SUMBER

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  KESELAMATAN DI RUMAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *