HARGA RUMAH DIJANGKA TURUN 5% HINGGA 10%

HARGA rumah dijangka turun antara lima hingga 10 peratus susulan langkah kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan khususnya simen dan batu bata apabila SST diperkenalkan bulan hadapan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, dua barangan utama pembinaan itu turut dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu, antara faktor menyebabkan kenaikan harga rumah dan bangunan.

“Andaian kasar untuk sesebuah harga rumah kurang antara lima dan 10 peratus itu mungkin dapat dicapai berdasarkan keperluan bahan binaan asas simen dan batu dikecualikan SST.

“Tapi harus diingat, harga tanah di sesebuah kawasan adalah antara faktor mempengaruhi harga rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Kompleks Wan Kien di Petaling Jaya, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan City Motors Datuk Dr Foo Wan Kien dan Pengarah Kumpulan City Motors, Eddie Tan.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, faktor harga rumah turut ditentukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri.

“Justeru kita berharap kerajaan negeri akan lebih bekerjasama dengan menurunkan harga premium tanah dan caj pembangunan untuk mengawal keseluruhan harga rumah.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, sukar untuk kerajaan bersendirian membuat keputusan bagi mengurangkan harga rumah,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST, sekali gus meringankan tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial.

Beliau berkata, antara bahan pembinaan tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan besi.

“Dengan cadangan pengecualian barang berkenaan daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST lebih baik berbanding GST, pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” katanya.

Langkah kerajaan itu turut disambut baik Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mokhtar Samad yang menyifatkan ia adalah langkah bijak dalam usaha kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat termasuk pemaju perumahan sendiri.

SUMBER

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  8 TIPS UNTUK MEMILIH HARTANAH UNTUK PELABURAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *