KEMPEN PEMILIKAN RUMAH (HOC) 2019

Kita sedia maklum bahawa golongan muda yang bekerja di Malaysia kini amatlah sukar untuk membeli dan memiliki hartanah kediaman. Ini kerana hartanah yang dipasarkan berharga sangat tinggi dan tidak masuk akal. Jika dibandingkan, rumah-rumah terutamanya di kawasan bandar semakin bertambah mahal, namun pertumbuhan pendapatan isi rumah tidaklah memberangsangkan.
Tidak hairanlah terdapat sejumlah besar unit hartanah yang baru dilancarkan tidak terjual. Menurut Laporan Pasaran Hartanah Malaysia 2018 yang baru-baru ini dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bilangan unit tidak terjual pada 2018 meningkat sebanyak 30.7% kepada 32,313 unit pada 2018.
Bagi mereka yang tidak biasa dengan istilah “harta tidak terjual”, ia ditakrifkan sebagai unit kediaman yang telah siap, tetapi masih belum terjual atau berada dalam pasaran selama sekurang-kurangnya sembilan bulan. Melihat keadaan ini, kerajaan memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah 2019 atau “Home Ownership Campaign (HOC) 2019”, yang telah diumumkan pada awal tahun ini sebagai salah satu inisiatif perumahan di bawah Bajet 2019.
Pada akhir tahun lepas, HOC pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng sewaktu pembentangan Bajet 2019. Ia merupakan usaha bersama oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) YB Zuraida Kamaruddin, fokus utama HOC adalah untuk membantu bakal pemilik rumah menceburi pasaran hartanah. Ibarat sambil menyelam minum air, inisiatif ini sekali gus dapat mengurangkan jumlah hartanah yang tidak terjual di dalam pasaran.
Sudah terbukti bahawa membeli rumah di bawah kempen HOC ini akan menjimatkan poket anda. Sebelum ini, pembeli rumah terpaksa membayar duti setem sebanyak 1% untuk RM 100,000 pertama, seterusnya 2% untuk 100,001 hingga 500,000 dan 3% untuk 500,001 hingga 1 juta. Sekilas pandang, ini mungkin tidak kelihatan banyak.
Katakanlah anda membeli rumah yang bernilai RM 500,000. Pengiraan di bawah menunjukkan caj duti setem yang anda perlu bayar:
= {(0.01 × 100k) + (0.02 × 400k) } + 0.5% daripada jumlah pinjaman (90% daripada RM500k)
= RM1,000 + RM8,000 + RM2,250
= RM11,250
Tidak dilupakan juga diskaun 10% yang harus ditawarkan oleh pemaju. Tanpa kempen HOC ini, jika anda membeli hartanah yang bernilai RM 500,000, anda akan membayar sebanyak RM 511,250 termasuk duti setem.
Namun, dengan adanya kempen HOC ini, anda boleh mendapatkannya dengan hanya RM 450,000. Anda akan jimat sebanyak RM 61,250, sama dengan harga setengah kereta yang baharu. Contohnya, harga Perodua Myvi (1.5L) 2019 sekarang dianggarkan RM50,290.
Bersempena dengan HOC, pelbagai ekspo telah diadakan di seluruh negara untuk para pemaju mempamerkan projek perumahan mereka.
Para pembeli rumah digalakkan menghadiri ekspo akan datang untuk mencari dan menyenarai pendek rumah-rumah yang berpotensi untuk dibeli.
Jika anda terlepas ekspo sebelum ini, anda boleh semak hartanah yang dijual dibawah HOC mengikut negeri dan anda boleh hubungi pemaju itu sendiri.
REHDA mensasarkan RM3 bilion jualan untuk HOC 2019 dan setakat ini, kelihatan mereka mampu untuk mencapai objektif tersebut. Ekspo HOC perdana yang diadakan pada Mac 2019 lalu telah menerima kunjungan 43,000 pelawat dan merekod tempahan rumah sebanyak RM 285 juta.
Berita baik untuk semua – semasa ekspo HOC pada bulan April 2019 yang lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan terhadap sebarang pinjaman perumahan yang ditolak tanpa sebab-sebab yang kukuh, sekiranya mereka menerima laporan daripada pihak pemaju.
Sesetengah pemaju mahukan tempoh HOC 2019 dilanjutkan sehingga hujung tahun. Sila peka dengan berita berkenaan kempen ini bagi mendapatkan maklumat terkini. Selamat maju jaya!
Sumber: iproperty.com