MENJADI JUTAWAN HARTANAH

1100-744x595.png

SAMA ada sedar atau ti­dak, hampir 80 peratus da­ripada rakyat negara ini mementingkan untuk tam­pil bergaya daripada membuat simpanan harta. Dan da­ripada jumlah itu, mereka adalah orang muda dan Melayu! Mungkin setengah orang kurang percaya fak­ta ini.

Namun hakikatnya, situasi itu benar-benar berlaku. Anda tidak perlu pergi jauh untuk mengiyakan fakta itu. Cuba perhati sahaja di Starbuck – lokasi minum kopi paling popular. Siapakah paling ramai lepak di situ dan minum kopi untuk segelas berharga ber­belas ringgit. Orang Melayu!

 

Keadaannya sudah terbalik. Mereka yang tidak gemar untuk bergaya sebegitu dianggap tidak up-to-date atau istilah anak muda sekarang tidak ‘in’ dengan mereka. Mungkin ada benar perum­pamaan Melayu, biar papa asal bergaya. Sanggup berhabis duit demi untuk bergaya yang tidak memberikan apa-apa hasil pun. Hanya untuk dipandang ada style oleh orang sekeliling.

Dalam ketika kita sibuk dengan gaya itu, bangsa lain sudah jauh ke depan. Mereka tahu menguruskan kewangan dan bijak mencari peluang menambah kekayaan. Mereka tidak hirau untuk hanya berkereta mini sekali pun asalkan poket mereka penuh.

 

Mereka tahu satu daripada strategi menjadi kaya adalah terlibat dalam pelaburan hartanah. Pulangannya bukan sekadar se­ringgit, tetapi berjuta-juta. Tidak hairanlah ramai antara mereka, belum umur sampai 40 tahun sudah memiliki sekurang-kurang­nya tiga aset hartanah.

Itu diakui sendiri oleh Pakar Pengurusan Kewangan, Vince Chia yang mendedahkan ke­ghairahan mereka untuk menjana kekayaan melalui pelaburan hartanah. Bagaimana mereka mampu berbuat demikian di saat keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini. Tentunya mereka mempu­nyai ilmu yang lengkap dan memperoleh maklumat terkini tentang peluang itu. Maka tidak hairanlah Chia sendiri kini mampu memiliki rumah bernilai RM1.5 juta!

 

Jadi sudah sampai masanya kita juga merebut peluang ini. Atas dasar ingin membantu masyarakat kita agar tidak ketinggalan, Kumpulan Utusan buat kali kedua menganjurkan Simposium Hartanah Utusan 2016 (SHU 2016) yang berlangsung dua hari bermula kelmarin.

Sambutannya amat luar biasa! Dewan Besar Utusan Melayu (M) Berhad yang menjadi lokasi pe­nganjurannya dihadiri lebih 2,000 orang. Ternyata kesedaran untuk menimba ilmu berkaitan harta­nah semakin tinggi. SHU 2016 kali ini menampilkan 15 penceramah yang membongkar rahsia dunia hartanah secara terperinci.

 

Lebih menarik, ia disediakan secara percuma! Pelbagai maklumat, perbinca­ng­an dan pe­nerangan terperinci mengenai industri berkenaan diberi kupasan antaranya topik Era Mampu Milik Mewah oleh Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn. Bhd. (Andaman), Datuk Se­ri Dr. Vincent Tiew. Perbincangan lain termasuk Islam dan Hartanah oleh Ghazali Ibrahim serta Tiga Cara Yang Mudah Untuk Dapatkan Pinjaman oleh Chia.

Kupasan pada hari kedua pula berkaitan Ilmu Undang-undang Hartanah Mengelak Jerat dan Perangkap yang disampaikan oleh Nazri Mustafa serta Bongkar Rahsia Lubuk Hartanah Terbaru di Malaysia oleh Ishmael Fadullah Ho Wen Xiong. Selain itu, Strategi Paling Power Dalam Pelaburan Hartanah oleh Ahyat Khalissabri Ishak; ASB Genius dan Hartanah oleh Khairul Ezuwan Yusoff; Rahsia Hartanah Lelong Terbongkar oleh Alan Poon dan Reka Bentuk Dalaman Menaikkan Nilai Hartanah oleh Mohd. Amin Mohd. Yusof.

BACA JUGA:  PERMUDAH PINJAMAN BELI RUMAH

 

Topik-topik yang diketengahkan dalam simposium kali ini juga berdasarkan maklum balas orang ramai yang ingin tahu serta memahami isu-isu semasa pasaran hartanah ketika ini. Bakal pembeli rumah pertama terutamanya perlu mengetahui tujuan sebenar mereka membeli aset itu supaya mengelakkan orang ramai membeli aset yang tidak menambah nilai kepada mereka.

Antara perbahasan lain daripada ikon-ikon hartanah yang turut menarik perhatian ialah petua-petua atau panduan untuk me­langsaikan bayaran ansuran rumah dalam tempoh 10 tahun jika mengetahui teknik yang betul.

 

Perkara itu didedahkan oleh Pakar pelaburan hartanah, Abdul Aziz Ahmad yang memberitahu, peminjam boleh membuat pembayaran sekali gus dengan menggunakan duit daripada akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jika mereka tertanya-tanya, bagaimana untuk mendapatkan jumlah wang ini, mereka boleh keluarkan daripada akaun kedua KWSP dan pihak berkenaan akan menyalurkannya kepada bank sebagai ansuran bayaran rumah,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam sesi hari pertama yang dirasmikan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

 

Dalam konteks Islam juga menggalakkan umatnya untuk menambah harta dan mencari kekayaan selagi usaha itu berlandaskan agama dan tuntutan syariah kerana ia telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah dan para sahabatnya apabila kekayaan dikumpulkan dan dibelanjakan untuk mengembangkan ajaran Islam.

“Kebanyakan umat Islam keliru dalam hal ini adakah di­bolehkan mencari harta yang banyak walhal dalam al-Quran dan hadis banyak kali menyebut mengenai harta.

 

“Sebenarnya tidak salah cari dan guna harta tetapi gunakan seelok-eloknya. Islam menuntut menjadi kaya, milikilah sebanyak-banyaknya tetapi sampai masa bayarlah zakat,” kata Ghazali seorang pakar hartanah Islam.

Oleh itu, tiada alasan untuk kita juga memperoleh pendapatan berganda. Janganlah cuba menuding jari kepada pihak lain jika kita sendiri tidak mahu keluar dari kepompong lama. Tepuklah poket anda. Habuk atau duit yang keluar?

 

SUMBER: UTUSAN ONLINE

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *