PERLABURAN LUAR NEGARA

10.10.16 House and Money Large Pic1

Kuala Lumpur: Pelaburan hartanah di luar negara adalah satu portfolio boleh dipertimbangkan oleh rakyat di negara ini untuk menjana pendapatan lebih tinggi, namun ia perlu dilakukan dengan pengetahuan bagi mendapatkan pulangan yang diharapkan, sekali gus mengelakkan daripada penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif IM Global Property Consultant Sdn Bhd, Ishak Ismail berkata, pelaburan seumpama itu bukanlah satu perkara baru di negara ini, namun ia dilihat semakin meningkat apabila golongan berpendapatan sederhana tinggi mula menerokai bidang terbabit sebagai langkah untuk menjana pendapatan.

“Pada masa ini, golongan profesional seperti doktor dan peguam sudah mula melakukan pelaburan di negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Australia memandangkan kebanyakan daripada mereka pernah bekerja atau belajar serta mengetahui mengenai situasi hartanah di sana,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Berdasarkan statistik 2012, kira-kira 50 peratus pelaburan hartanah di London, United Kingdom dilakukan oleh individu daripada negara Asia dengan warga Malaysia menguasai lima peratus daripada peratusan terbabit.

Beliau berkata, pelaburan hartanah di luar negara memiliki potensi besar untuk diterokai memandangkan seseorang individu itu tidak perlu membeli unit besar dengan pelaburan minimum boleh dilakukan dengan pembelian unit bilik sahaja.

“Apa yang paling menarik, setiap pelabur memperoleh hak pegangan untuk unit bilik terbabit dan ia boleh disewakan kepada orang lain dengan jaminan sewaan antara lima hingga 10 tahun melalui bantuan pengurus kewangan di sana,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Malaysia yang melakukan pelaburan hartanah di luar negara melihat ia sebagai peluang pendapatan lebih baik memandangkan keuntungan berdasarkan tukaran mata wang, tidak dikenakan cukai dan modal yang kecil.

“Selain itu, ia juga adalah satu peluang kepada ejen hartanah tempatan untuk menjana pendapatan lebih lumayan kerana mereka berpeluang untuk mendapat komisen sehingga 10 peratus dengan tempoh transaksi dalam tempoh singkat,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  Macam mana nak beli rumah menggunakan KWSP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *