Pemilik tanah diberi tempoh 14 hari

pemilik tanah

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan notis kepada pemilik tanah supaya melakukan kerja pembersihan tapak pelupusan sampah haram yang terletak berhampiran perumahan Taman Teluk Gedung Indah, di sini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pemilik tanah diberi tempoh 14 hari untuk memberhentikan aktiviti tersebut dan memulihkan semula tanah kepada keadaan asal.

Katanya, pihaknya mendapati aktiviti meratakan tanah dan pembuangan sampah industri terutamanya plastik secara haram melibatkan sebahagian tanah kerajaan serta tanah persendirian.

“Bagi lot 1849 dan lot1850, Pejabat Tanah dan Daerah telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan lima notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan memacak tiga papan tanda amaran pencerobohan tanah kerajaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahan hidu bau busuk setiap masa!]

“Kita juga mengeluarkan Notis Pemberitahuan kepada pemilik tanah kerana menyalahi Seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, iaitu menjalankan aktiviti bercanggah dengan zon perancangan gunatanah berdasarkan Rancangan Tempatan MPK (Pengubahan 4) 2020 dan Seksyen19, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, iaitu menjalankan pemajuan tanpa kebenaran merancang bagi lot 1848, 1851 dan 1854, “ katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan penduduk Taman Teluk Gedung Indah yang menanggung derita apabila terpaksa berdepan dengan masalah pencemaran bau sejak dua tahun lalu berikutan wujudnya tapak pelupusan sampah haram.

Menurut beliau, MPK akan memperhebatkan lagi operasi bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah haram di daerah ini.

“Mana-mana pihak tidak boleh menceroboh tanah tanpa kebenaran pihak berkuasa termasuk menjadikannya tapak pembuangan sampah haram.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang sedia ada,” katanya.

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  SULTAN KEDAH SEMPURNA PECAH TANAH PROJEK WAKAF HARTANAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *