Penilaian CKHT dikira bermula tahun 2000

CKHT

KUALA LUMPUR: Penilaian hartanah yang akan dikenakan cukai sebanyak lima peratus berdasarkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) hanya akan dikira mengikut nilai bermula tahun 2000.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tahun penilaian itu ditetapkan selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai serta pihak berkepentingan.

“Mengenai CKHT, kerajaan umum naik sebanyak lima peratus, tetapi mendapat maklum balas kerana tidak ditetapkan tarikh bermula nilaian.

“Ada pihak melahirkan kebimbangan jika ada hartanah sejak tahun 1960 dan kemudian jual, berapa banyak cukai yang kena bayar.

“Justeru, kementerian menetapkan tarikh nilaian itu akan bermula tahun 2000 sungguhpun hartanah itu dimiliki sejak 1960. Hanya akan dinilai bermula tahun 2000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar CKHT kepada lima peratus namun dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik berharga di bawah RM200,000.

Sementara itu, ketika penggulungannya, Guan Eng ditegur supaya tidak membincangkan isu tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 bilion yang masih disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Teguran itu dibuat Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN UMNO-Jasin) yang juga ahli PAC.

Guan Eng ditegur apabila terlalu banyak menyentuh mengenai isu ‘kehilangan’ wang tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Terdahulu Guan Eng bertikam lidah dengan Datuk Seri Najib Razak (BN UMNO-Pekan) berhubung isu itu dan mendakwa bekas Perdana Menteri itu hidup dalam penafian.

“Macam mana nak menggambarkan seseorang yang hidup dalam sindrom penafian. Kita cakap jumlah RM19.4 bilion. Bukan waktu GST dimansuhkan. Itu sebab saya cakap Pekan (Najib) dalam simdrom penafian,” katanya.

Ahmad kemudiannya bangun dan menegur Guan Eng supaya tidak membincangkan perkara itu kerana laporannya akan dibentangkan oleh PAC.

“Saya cadang pada menteri jangan bincang isu tuntutan bayaran balik GST sebab PAC akan membentangkan laporannya minggu depan. Jangan buat tuduhan,” katanya.

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  Apa itu hibah, wasiat dan wakaf?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *