Perkara yang anda perlu tahu sebelum merancang untuk beli rumah pertama

Memiliki rumah sendiri pasti menjadi impian setiap orang. Impian tanpa tindakan tidak akan membuahkan apa-apa hasil.

Ramai kata pembiayaan perumahan pertama begitu menyusahkan. Kenapa menyusahkan? Tidaklah susah sangat apabila kau orang tahu aturannya. Komitmen pembiayaan perumahan adalah tempoh yang lama. Jika pembiayaan kereta hanyalah 9 tahun maksimum. Tapi pembiayaan perumahan tempoh dia selama 30-35 tahun. Hanya mereka yang berkemampuan bayar balik, berdisiplin dan komitmed saja bank akan beri pembiayaan perumahan.

Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh belajar ilmu hartanah.

 

Cara #1  Tambahkan ilmu
Belajar tentang ilmu hartanah sedikit sebanyak. Jangan berkira nak keluarkan sedikit wang demi ilmu hartanah. Belanja makwe tiket wayang boleh, beli buku kemain berkira.

Tak ada ilmu, duit deposit boleh hangus jika pembiayaan perumahan tidak diluluskan. Tak ada ilmu, pembiayaan perumahan mudah ditolak. Jadi, ilmu itu penting.

 

Cara #2 Duit pendahuluan
Nak beli rumah mesti ada duit pendahuluan. Takkan nak beli guna senyuman menawan kau orang je. Selalunya, 10% duit pendahuluan diperlukan untuk membeli rumah. Jadi, kau orang kena letak bajet dalam 15%. Kos guaman, kos duti setem kena kira juga. Jadi, tak reti-reti nak mulakan menyimpan 10% daripada pendapatan?

Cara #3 Baiki laporan CCRIS
Semak laporan CCRIS kau orang. Pastikan laporan CCRIS kau orang cun melecun dengan nombor 000 je. Yang tak ada laporan CCRIS, elok bagi ada dulu. Paling senang mohon kad kredit ataupun buat ASB Financing RM50K. Dah ada laporan CCRIS boleh terminate jika ia mengganggu DSR.

Kenapa perlu cipta rekod CCRIS? Bank tak kenal kau orang sapa. Dengan rekod CCRIS, bank dapat menilai karektor pembayaran balik kau orang. Adakah kau orang seorang yang berdisiplin ataupun culas.

 

Cara #4 Bajet
Kaji dulu kemampuan ekonomi kau orang. Boleh walk in ke bank untuk tahu kelayakan pembiayaan perumahan. Nak senang untuk tahu kelayakan pembiayaan perumahan secara anggaran boleh lihat di sini:

Baca disini

8 cara nak kumpulkan deposit rumah boleh baca di sini ;

Baca disini

 

Cara #5 Nisbah hutang kepada pendapatan @ DSR (Debt Service Ratio)
Perkara asas ini kau orang perlu tahu. Bank akan tengok DSR kau orang untuk meluluskan permohonan pembiayaan perumahan. Pastikan DSR kau orang tidak melebihi 70%.

 

Cara #6 Periksa lokasi
Lokasi yang bagus, harga pun bagus juga. Tapi ada rumah apartmen, rumah lelong yang harga masih mampu milik untuk dibuat pelaburan hartanah. Antara lokasi yang bagus adalah lokasi yang mempunyai;

i. Kemudahan asas – sekolah, hospital, taman rekreasi, bank, dan sebagainya.
ii. Kemudahan pengangkutan awam

Tapi cukuplah kau orang tahu lokasi yang rumah yang nak beli tu bebas daripada bencana alam seperti banjir ataupun selalu hadapi masalah tiada bekalan air.

 

Cara #7 Tahu jenis hartanah
i. Rumah bertanah – harga lebih tinggi, nilai pasaran rumah cepat meningkat.
ii. Rumah bertingkat (kondominium / apartmen) – harga mampu dimiliki. Lebih kepada aliran tunai dengan bayaran penyewa.

 

Cara #8 Tahu Jenis Ikatan Hak Milik
i. Hak milik individu – rumah bertanah
ii. Hak milik Strata – rumah kondominium / apartmen

Kau orang perlu tahu jenis hak milik hartanah. Ada hak milik Master yang melebihi 10 tahun menyukarkan proses pemindahan hak milik ataupun penjualan hartanah. Banyak bank sudah tidak proses pinjaman perumahan jika hartanah berstatus Master melebihi 10 tahun.

Antara bank yang masih proses hartanah berstatus Master ialah;

i. Affinbank
ii. Public Bank
iii. Bank Rakyat
iv. BSN
v. Bank Islam

 

Cara #9 Tahu jenis pegangan hak milik
i. Pegangan bebas (Freehold): hak milik kekal. Kita mempunyai hak ke atas tanah tersebut untuk selamanya.
ii. Pegangan pajak (Leasehold): hak milik sementara biasanya sehingga 99 tahun. Selepas tamat tempoh pajakan, hartanah tersebut perlu dipulangkan kepada pihak berkuasa, melainkan tempoh pajakan dilanjutkan dengan membuat bayaran premium. Jika hampir tamat tempoh pajakan, nilai hartanah biasanya akan menurun.

Cara #10 Pemaju
Jika berminat rumah dalam pembinaan, kau orang perlu lihat akan pemaju tersebut. Kau orang perlu mengkaji rekod pemaju dan prestasi mereka. Selidik sama ada projek terdahulu disiapkan mengikut jadual ataupun tidak.

Sumber: Halalmoney

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *