PERMUDAH PINJAMAN BELI RUMAH

tanah

TIMBUL pelbagai rungutan dalam kalangan masyarakat mengenai kesukaran memiliki rumah disebabkan harga yang melambung tinggi dan kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman untuk membelinya.

Penolakan pinjaman untuk membeli rumah juga dikatakan menjadi antara sebab utama jumlah transaksi hartanah menjadi rendah dan kelembapan sektor berkenaan.
Bank Simpanan Nasional (BSN) antara institusi perbankan yang dilihat serius dalam membantu golongan muda dengan menawarkan pembiayaan beli rumah melalui skim tertentu.

Wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI bersama jurufoto, RIDUAN RIZAL AHMAD menemu bual Ketua Jabatan Distribusi BSN, AKHSAN ZAINI bagi berkongsi usaha tersebut sekali gus membantu merealisasikan impian mereka memiliki kediaman sendiri.

UTUSAN: Apakah bentuk bantuan pembiayaan yang disediakan BSN yang di­khaskan kepada rumah-rumah mampu milik yang disediakan kerajaan.
AKHSAN: Terdapat beberapa skim pembiayaan disediakan BSN kepada orang ramai dalam usaha untuk memastikan semua rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri khususnya rumah pertama.
Menerusi usahasama baik antara pihak kerajaan dan pemaju hartanah, BSN cuba menyediakan ruang kepada orang ramai dalam membantu untuk memiliki rumah sendiri.
Antara skim yang disediakan termasuk Skim Perumahan Belia (SPB), Skim Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Perincikan sedikit mengenai skim yang ditawarkan.
Bagi Skim Perumahan Belia, tawaran yang ditetapkan adalah meliputi 100 peratus pembiayaan untuk rumah dan tambahan lima peratus bagi tujuan pembiayaan Insurans Bertempoh Mengurangkan Pinjaman atau insurans MRTA. Namun, kadar harga rumah untuk skim itu adalah antara RM100,000 hingga RM500,000.
Manakala, Skim Perumahan PPR DBKL dan MTEN pula me­nawarkan kadar pembiayaan sebanyak 110 peratus iaitu 100 peratus meliputi harga rumah, lima peratus untuk insurans MRTA dan lima pe­ratus lagi adalah untuk kos guaman dan lain-lain kos yang berkenaan.
Sementara itu, Skim PPR pula menawarkan 100 peratus pinjaman iaitu 92 peratus adalah untuk pinjaman rumah tersebut dan 5 peratus untuk insurans MRTA serta 3 peratus adalah insu­rans ke­bakaran pe­milik rumah.

Apakah syarat-syarat yang diperlukan di bawah Skim Perumahan Belia.
Syarat yang dikenakan adalah merujuk kepada belia yang sudah berkahwin berusia di antara 25 hingga 40 tahun, permohonan untuk hartanah pertama bagi kedua-dua pemohon, memiliki pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan, pembiayaan minimum dari RM100,000 sehingga maksimum RM500,000, pengeluaran wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) mengikut syarat yang ditetapkan serta menerima bantuan kewang­an daripada kerajaan sebanyak RM200 setiap bulan untuk tempoh 2 tahun.
Skim ini adalah usaha kerajaan membantu golongan sasar khususnya belia yang baharu berkahwin untuk mendapatkan rumah sendiri dengan kerjasama BSN dengan menawarkan bantuan pembiayaan.
Namun, sejak dilancarkan pada Julai 2015, hanya 1,500 permohonan berjaya diluluskan daripada jumlah permohonan hanya seramai hampir 3,000 pemohon berbanding sebanyak 20,000 unit yang ditawarkan menerusi skim ini.

BACA JUGA:  LOAN GOVERNMENT

Golongan muda banyak menanggung bebanan ke­wangan se­perti pinjaman pendidikan, hutang kad kredit dan kos ha­rian. Adakah BSN mempunyai mekanisme ter­tentu bagi membantu golongan ini membeli kediaman sendiri.
Berdasarkan kajian yang dilakukan mendapati bahawa go­longan muda sememangnya me­merlukan bantuan dalam pe­milikan kediaman sendiri ter­­utama mereka yang sudah berkahwin dan berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Mereka berkelayakan untuk memiliki rumah sendiri tetapi tidak mampu menyediakan wang sebanyak 10 peratus deposit dan lain-lain kos guaman.
Oleh itu, pelbagai skim telah diwujudkan dengan fokus untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan seperti ini.
Dengan adanya kemudahan itu, ia secara tidak langsung dapat merancakkan lagi pasaran hartanah dan membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini memiliki rumah sendiri.

Usaha yang diambil BSN dalam menangani situasi tersebut?
BSN sentiasa bekerja rapat dengan pihak kerajaan bersama-sama pemaju perumahan.
Antaranya, bekerjasama de­ngan pihak pemaju perumahan sekiranya mereka melancarkan projek perumahan yang bersesuaian dengan skim yang ditawarkan pihak kami.
Langkah itu hasil kerjasama antara BSN dan kerajaan untuk membantu golongan belia dan mereka yang berpendapatan rendah.

Adakah status Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) akan menyebabkan permohonan pinjaman perumahan ditolak oleh institusi perbankan?
Tanggapan bahawa individu yang dikenakan CCRIS akan menyebabkan permohonan pinjaman akan ditolak perlu diperbetulkan kerana tindakan itu bukan bersifat mandatori kerana asas meluluskan pinjaman tidak hanya bergantung kepada bacaan CCRIS sahaja.
Sebaliknya ia memainkan pe­ranan yang penting untuk mendidik pengguna supaya lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan.
Bagaimanapun, institusi kewa­ng­­an yang menawarkan pem­biayaan kepada individu itu sudah pasti akan melakukan penilaian terhadapnya menerusi bacaan CCRIS selain kriteria pe-minjam yang dinilai berdasarkan ketepatan bayaran balik pinjaman terdahulu.
Ini kerana tabiat pembayaran balik itu adalah salah satu kriteria terpenting bagi sesebuah institusi kewangan untuk ‘mengenali’ bakal peminjam tersebut.

Nasihat kepada mereka yang merancang untuk membeli rumah pada masa ini.
Sebelum membeli sebarang aset yang mempunyai kos pengeluaran jangka masa panjang seperti rumah, seseorang perlu mempertimbangkan dan melakukan perancangan rapi mengenai pendapatan dan pengeluaran sedia ada.
Pastikan belanjawan diri dan keluarga telah dilakukan bagi memastikan keupayaan kewa­ng­an setimpal dengan komitmen hartanah yang bakal dibuat. Oleh kerana ini adalah komitmen jangka masa panjang, jadi kemam­puan membuat bayaran balik adalah sangat penting.
Skim pembiayaan pilihan perlu mengambil kira ciri-ciri skim termasuk kadar caj sampingan yang dikenakan.

 

SUMBER : UTUSAN ONLINE

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *