Perunding Hartanah: Faedah-faedahnya

4 Hal Yang Sering Disembunyikan Kontraktor Rumah

Menetapkan Sasaran
Sebagai perunding hartanah, anda tidak perlu melapor diri kepada orang lain. Dengan kata lain, anda ialah ketua anda sendiri. Anda memutuskan berapa banyak wang yang hendak anda perolehi setiap bulan dan berusaha untuk mencapainya. Lebih kerja, lebihlah ganjarannya; tersilap langkah maka anda tidak mendapat apa-apa. Tiada tekanan daripada sesiapa kerana anda tidak dibayar gaji tetap oleh pihak agensi, sebaliknya anda dibayar komisen ke atas setiap jualan.

Jadual yang Fleksibel
Satu lagi kebaikan perkhidmatan ini ialah anda tidak terkurung di pejabat setiap hari. Sebaik-baiknya anda harus selalu ke pejabat kerana anda perlu berinteraksi dengan perunding yang lain untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku di pasaran dan untuk belajar teknik-teknik tertentu (terutamanya jika anda orang baru dan banyak yang anda tidak tahu!).

Walau bagaimanapun, tidak ada masa yang tetap untuk anda berada di pejabat kecuali jika diperlukan oleh pihak agensi. Anda bebas membuat jadual anda ke pejabat mengikut keselesaan anda, contohnya apabila anak-anak berada di sekolah, atau apabila tugas di rumah sudah selesai.

Batu Loncatan Kepada Perkara yang Lebih Besar
Jika anda dapati bahawa urusan sewabeli hartanah adalah sesuatu yang ingin anda lakukan, anda boleh belajar untuk mengambil peperiksaan hartanah dan berusaha untuk menjadi ejen yang berdaftar. Ini bermakna anda tidak perlu lagi bekerja di bawah ejen yang lain tetapi anda boleh menubuhkan firma anda sendiri dan mengambil perunding untuk bekerja dengan anda.

Tetapi anda harus ingat bahawa ejen hartanah berdaftar hendaklah mempunyai pejabat dan beroperasi dari situ.

Kualiti Untuk Menjadi Perunding yang Efisen

Kemahiran Berkomunikasi
Anda mestilah boleh berkomunikasi dengan baik. Jika Bahasa Inggeris anda tidak begitu baik, anda boleh memilih untuk memfokus kepada pelanggan yang berbahasa Cina, Tamil atau Melayu. Ingatlah, bukannya mereka yang fasih berbahasa Inggeris sahaja yang memerlukan hartanah.

Tahu Bagaimana Menawan Pelanggan
Anda mestilah suka bertemu orang ramai. Di dalam industri ini, anda akan bertemu dengan orang berpangkat tinggi dan rendah, sekurang-kurangnya pada peringkat permulaan, di mana anda haruslah sanggup mengambil sesiapa sahaja sebagai pelanggan.

Berkeyakinan
Anda mestilah mampu berkomunikasi dengan orang asing melalui telefon atau membawa mereka melawat hartanah tersebut. Pekerjaan ini bukanlah untuk orang yang pemalu.

Anda Harus Sentiasa Bergerak
Sesungguhnya lebih mudah jika anda mempunyai kereta kerana anda terpaksa pergi ke sana-sini membawa pelanggan melawat hartanah, mengambil kunci rumah dan sebagainya.

Berperawakan Menarik
Berpakaianlah seperti anda hendak ke pejabat kerana ia boleh menarik kepercayaan pelanggan. Pakai alat solek ringkas, kasut yang sesuai dan pakaian yang sopan apabila anda berjumpa dengan pelanggan atau pergi ke pejabat.

Berdisiplin dan Terurus
Seperti bidang perniagaan yang lain juga, anda harus berdisiplin. Anda perlu meluangkan masa untuk berjumpa pelanggan, membuat panggilan, pergi ke pejabat, menyelesaikan kertas kerja dan sebagainya.

Mengambil Berat Tentang Orang Lain
Setelah selesai urusan jual-beli, teruskan perhubungan yang baik dengan pelanggan anda. Cuba kenali mereka dengan lebih dekat dan anda mungkin dirujuk kepada orang lain, di mana secara tidak langsung membantu perniagaan anda.

Terus Berusaha
Ada kalanya senarai di tangan anda semakin berkurangan. Pada masa inilah anda harus tegar untuk menghampiri para penjual dan tuan tanah dan menawarkan perkhidmatan anda.

 

Bagaimana Hendak Bermula
Pertama sekali, anda harus mengenalpasti agensi yang sesuai untuk anda masuki. Berikut adalah beberapa petunjuk:

Carilah agensi yang berdekatan dengan rumah untuk kemudahan anda.

Dapatkan maklumat samada agensi itu menawarkan latihan atau tidak. Latihan di luar sangat penting jika anda mahu berjaya. Jika agensi tidak menawarkan latihan, rujuk kepada Institut Agen Hartanah Malaysia jika mereka menawarkan kursus latihan bagi perunding dan mendaftarlah.

Lihat apakah insentif lain yang diberikan selain daripada komisen, contohnya KWSP, elaun pengiklanan, bonus, dan sebagainya.

Pastikan agensi itu dapat mengeluarkan surat perlantikan sebagai bukti perjawatan supaya anda berkuasa untuk bertindak bagi pihak mereka dan untuk mengutip komisen.

Pastikan bahawa agensi menawarkan khidmat pentadbiran sokongan, pejabat yang kemas dan mempunyai imej yang sesuai di samping beretika (contohnya ia tidak mengutip yuran tambahan selain daripada yang ditetapkan di dalam Akta).

Sentiasa Berhati-hati

Sebaik sahaja anda mendaftar dengan agensi, pastikan bahawa bagi setiap pelanggan yang anda wakili, anda mempunyai surat kuasa untuk berurusniaga bagi pihaknya. Contohnya, jika Encik X meminta anda menjual atau menyewakan rumahnya dan berkata bahawa dia akan membayar agensi anda 2.75 peratus sebagai yuran profesional, pastikan anda mempunyai dokumen yang menyatakan sedemikian (versi yang sama boleh diperolehi daripada syarikat anda). Ini ialah untuk memastikan pelanggan tersebut tidak menarik balik perjanjian setelah anda dapat mencari pembeli untuknya. Jika dia cuba berbuat demikian, anda boleh menggunakan dokumen tersebut di dalam mahkamah untuk menuntut bayaran anda.

Begitu juga, bagi setiap calon pembeli atau penyewa, dapatkan bukti bahawa anda telah membawa mereka melawat hartanah rsebut, takut-takut penjual atau tuan rumah kemudian berkata anda tidak pernah terlibat dan cuba melepasi anda di dalam transaksi itu.

Setelah anda memasuki perniagaan ini, ambillah langkah berwaspada apabila berjumpa dengan pelanggan. Jangan sekali-kali membawa orang yang tidak dikenali ke kawasan perumahan baru atau membawa mereka ke rumah yang kosong pada waktu malam seorang diri. Sentiasa pastikan bahawa anda membawa teman bersama pada situasi itu. Jangan sesekali menumpang kenderaan calon pelanggan seorang diri. Pandulah kenderaan anda sendiri ke sana.

Apabila anda mengiklankan perkhidmatan anda di akhbar dan majalah, jangan letak nama penuh anda, terutamanya jika anda seorang wanita. Sebaliknya, gunakan nama panggilan untuk melindungi identiti anda.

Elakkan dari mengambil wang tunai daripada pelanggan anda. Sebaliknya, mintalah mereka memberikan cek. Jika mereka tetap mahu membayar dengan wang tunai, mintalah mereka membayarnya terus ke pejabat agensi anda. Ini untuk mengelakkan liabiliti bagi diri anda jika sesuatu yang buruk (seperti rompakan) berlaku.

Akhir sekali, simpan nombor orang yang anda hubungi dengan teratur, termasuklah mereka yang telah menolak untuk membeli atau menyewa daripada anda. Siapa tahu, mereka mungkin bersetuju pada masa akan datang.

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *