PINDAAN UNDANG -UNDANG TANAH HUKUM PENCEROBOH

BANDAR BARU NILAI: Pentadbir tanah negeri perlu memahami semangat yang tersirat dalam pindaan tiga undang-undang berkaitan tanah yang diluluskan oleh Parlimen, bulan lalu.

Tiga undang-undang itu ialah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Hak Milik Strata 1985 dan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pindaan undang-undang berkenaan antara lain adalah susulan rungutan rakyat terhadap pencerobohan tanah di Cameron Highlands, Pahang.

Katanya, pindaan undang-undang berkenaan memperuntukkan hukuman lebih berat supaya penceroboh mendapat balasan setimpal.

“Apabila pencerobohan tanah berlaku, kita bawa tentera, polis dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan lain ke situ.

“Bagaimanapun, tidak berbaloi buat kerja macam itu kerana apabila mereka yang terbabit dihadapkan ke mahkamah hanya dihukum antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pentadbir Tanah ke-22 anjuran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini, malam tadi.

Wan Junaidi berkata, pentadbir tanah perlu memahami pindaan undang-undang berkenaan bertujuan mengenakan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan.

Katanya, hukuman terhadap penduduk yang membiarkan ternakan meragut rumput di tempat awam mesti jauh berbeza berbanding mereka yang menceroboh tanah kerajaan dengan pelaburan secara besar-besaran.

“Persidangan ini menjadi forum untuk pentadbir tanah memahami tujuan utama pindaan itu dibuat dan melaksanakan dengan berkesan selepas ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.

“Melalui pindaan terhadap 77 seksyen dalam Kanun Tanah Negara 1965, hukuman denda lebih berat dikenakan iaitu dinaikkan dari RM10,000 kepada RM500,000 dan tempoh penjara dari satu tahun kepada 15 tahun,” katanya.

SUMBER

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *