Wujud segera undang-undang wajib istihar harta

wajib istihar harta

SHAH ALAM – Undang-undang khusus mewajibkan ahli politik dan anggota tertinggi pentadbiran awam mengisytihar segala harta dimiliki perlu diwujudkan dengan segera.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, dengan wujudnya undang-undang itu kelak mereka yang terlibat tidak akan mempunyai sebarang alasan untuk tidak mengisytihar harta dimiliki.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) boleh mempertimbang supaya mana-mana pihak yang gagal isytihar harta sebagai satu kesalahan pilihan raya dan boleh didakwa dan dihukum dibawah Akta 5Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 .

“Pihak SPR juga boleh cadang satu bentuk hukuman keras diambil terhadap mana-mana ahli politik yang gagal isytihar harta mereka.

“Ia termasuk hukuman larangan daripada bertandingan dalam mana-mana proses pilihan raya serta pelucutan secara automatik sebarang kerusi pilihanraya yang telah dimenangi oleh ahli politik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya undang-undang, mereka yang terlibat akan mengambil serius hal itu sekali gus membantu usaha kerajaan pimpinan PH mewujudkan kerajaan bersifat terbuka dan bebas dari sebarang salah laku serius dalam kalangan pemimpin serta ahli politiknya.

“Usaha isytihar segala harta ini dilaksana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah bagi pastikan kerajaan baru di bawah pimpinannya bebas daripada gejala rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.

“Langkah ini juga diambil bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih terbuka serta mesra rakyat sekaligus membebaskan kerajaan daripada sebarang perkara atau imej negatif yang boleh boleh menjejaskan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya satu bentuk undang-undang khusus, proses pengisytiharan harta dapat dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.

Katanya lagi, proses pengisytiharan harta juga dapat diperluas kepada setiap ahli politik yang masih bergiat aktif dalam politik dan tidak terhad hanya kepada ahli parlimen dan anggota pentadbiran tertinggi kerajaan sedia ada.

“Dengan adanya perundangan khusus mengenai perkara ini, proses pengisytiharan harta dapat berlaku dengan lebih terperinci lagi bagi menjamin ketelusan setiap ahli politik dan anggota pentabiran tertinggi kerajaan.

“Tindakan juga mudah diambil terhadap ahli politik atau anggota tertinggi pentadbiran kerajaan yang didapati gagal isytihar harta dimiliki dalam tempoh masa ditetapkan oleh pihak berkuasa melainkan dengan alasan munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM juga perlu melakukan proses pemantauan terhadap segala harta diisytihar kepada mereka.

Katanya, pihak SPRM tidak boleh menyerahkan hal berkenaan seratus peratus kepada ahli politik dan anggota tertinggi pentadbiran kerajaan semata-mata bagi mengelakkan sebarang kesilapan atau penipuan berlaku.

Bagi memastikan proses berjalan dengan baik dan sempurna, satu unit khas juga perlu diwujudkan di bawah SPRM bagi memantau dan menguatkuasakannya.

Kongsikan Sekiranya Bermanfaat...
BACA JUGA:  Undang-undang pemilikan hartanah kita terlonggar di dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *